Rasionalisasi Subsisdi Minyak di Malaysia


Assalamualaikum dan selamat sejahtera,



Harga sebelum kenaikan


Pada awal saya mendengar tentang kenaikan harga minyak ini ada juga berantakan rasa di hati tapi saya terfikir pasti ada rasional PM kita terpaksa membuat satu tindakan yg besar kesannya kepada pihak kerajaan. Semua sudut harus diambil kira demi rakyat. Mohon sahabat jangan cepat melatah. Setiap isu harus dipandang dan dinilai daripada mata burung bukan daripada bawah tempurung. Berfikirlah secara rasional dan pasti ada sebab terbaik demi rakyat!


Berdasarkan laporan terkini, harga minyak global kini sudah mencecah AS$100 setong pada Julai 2014 dan kini berada pada kadar AS$94 setong dan jumlah ini boleh meningkat sehingga AS$150 setong jika krisis politik di Syria tidak terhenti. Jumlah ini cukup tinggi jika dibandingkan dengan harga pasaran minyak dunia pada tahun 2001 yang berada hanya sekitar AS$15 setong!.



Rumusan kadar harga minyak di Malaysia dari 2008-2014


Jika anda merujuk Wikipedia mengenai trend harga minyak di Malaysia, harga minyak (ketika itu hanya ada RON97) adalah RM1.30 manakala harga pada masa ini (selepas kenaikan 20sen) ialah RM2.30. Ini bermakna, dengan peningkatan harga minyak dunia daripada hanya AS$15 setong pada 2001 kepada hampir AS$100 setong tahun ini, kenaikan terkumpul harga minyak di Malaysia hanya sekitar 70 sen sepanjang tempoh itu manakala jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan kini sudah mencecah RM24 bilion setahun.



Rp 9530 = MYR 2.55


Sekadar buat perbandingan, pada Jun 2013 Indonesia menaikkan harga petrol mereka sebanyak 44% dengan secara sekaligus. Dalam kes di Malaysia, kenaikan 20 sen itu hanya sekitar 10.5% peratus. Seperti biasa, puak-puak pembangkang akan menggunakan hujah bahawa tidak adil untuk bandingkan dengan Indonesia kerana negara republik itu bukan pengeluar minyak seperti Malaysia. Betulkah begitu?




Negara pengeluar minyak dan kapasiti keluaran sehari


Puak-puak ini juga akan membuat perbandingan harga minyak di negara-negara pengeluar minyak dunia seperti Arab Saudi (RM 0.52 seliter), Bahrain (RM 0.86 seliter), Qatar (RM 0.76 seliter) dan Kuwait ( RM 0.73 seliter). Baik, kita ambil Arab Saudi sebagai perbandingan. Malaysia mengeluarkan 693,700 barel minyak sehari sementara Arab Saudi mengeluarkan 11.73 juta barel sehari - perbezaan hampir 16 kali ganda. Jika ditolak penggunaan domestik antara dua negara ini, hasil eksport keseluruhan adalah kira-kira 19,000 barel untuk Malaysia dan 8.53 juta barel bagi Arab Saudi. Lihatlah betapa besar beza keuntungan yang boleh dihasilkan Arab Saudi. 

Secara dasarnya, Malaysia bukan negara pengeksport minyak, malah 90 peratus keluaran minyaknya adalah untuk kegunaan dalam negara. Syarikat minyak nasional, Petronas 
pula aktif dalam kerja cari gali minyak di beberapa negara luar. Sumber simpanan minyak negara juga tidak akan kekal, Malaysia dijangka akan kehabisan sumber minyak menjelang tahun 2025.Jika dilihat statistik kepada jumlah simpanan minyak ( statistik 2011), Arab Saudi mempunyai simpanan minyak terbesar di dunia iaitu sekitar 262,700,000,000 tong manakala Malaysia pula hanya 3,100,000,000 tong. Malah, Indonesia yang menaikkan harga minyak sehingga 33 peratus baru-baru ini memiliki lebih banyak simpanan minyak berbanding kita iaitu 4,600,000,000 tong.

Ada juga yang berhujah, dengan untung Petronas yang mencanak-canak mencecah puluhan bilion setiap tahun, kenapa harga minyak tidak boleh diturunkan? Memang benar Petronas untung besar, tetapi jumlah yang disalurkan kepada kerajaan juga berjumlah berpuluh bilion setiap tahun dan jumlahnya terus meningkat. Kita perlu sedar bahawa Petronas adalah sebuah entiti perniagaan dan tidak semua keuntungannya boleh disalurkan kepada subsidi. Petronas juga menitikberatkan soal mengembangkan prospek  
perniagaannya dan ia tentunya bukan memakan modal yang sedikit. Malahan, seperti yang saya sebutkan tadi, sumber minyak negara tidak akan kekal selama-lamanya.

Rakyat juga perlu sedar betapa besar impak kenaikan harga minyak dunia yang makin tidak menentu. Bayangkan kalau kemelut di Syria berterusan dan harga minyak boleh mencecah sehingga AS$150 setong, jumlah subsidi pasti meningkat berkali ganda. Kerajaan boleh memilih untuk tidak menaikkan harga minyak, tetapi ia tentunya mengundang risiko yang cukup besar dan boleh melemahkan ekonomi sekaligus menyusahkan rakyat. Jika itu berlaku, maka pembangkang akan menuduh pula kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk menyelamatkan ekonomi.



Hutang negara 2014 adalah pada kadar 53.919% daripada GDP


Tindakan menaikkan sedikit harga minyak secara langsung membantu mengurangkan nisbah hutang negara. Bukankah pembangkang juga yang ghairah menjadikan isu hutang negara sebagai modal politik pada PRU lalu? 

Dalam keadaan negara turut berdepan senario politik global yang tidak menentu, semua perkara ini wajar diambil pertimbangan sewajarnya. Jangan kerana taksub politik, kita mahu mempertaruhkan masa depan ekonomi dengan memberi gambaran salah kepada rakyat. Kalau pun hendak menjadikan kenaikan harga minyak ini sebagai wacana politik, berhujahlah secara fakta, bukan sekadar melemparkan hujah simplistik dan fitnah semata-mata.

Terukkah PM kita apabila terpaksa mengambil tindakan TIDAK POPULAR dan DIBENCI rakyat kerana terpaksa mengurangkan subsidi minyak demi menyelamatkan ekonomi negara yg mana ramai rakyat terpaksa kehilangan kerja?


Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment

Share

Hubungi saya

Name

Email *

Message *