Assalamu’alaikum w.b.t dan salam sejahtera buat anda semua yang ingin mengenali perihal diri saya. Alhamdulillah pada tanggal 18 Jun 1987 tepat jam 8.00 malam saya telah selamat dilahirkan di Hospital Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Selangor Darul Ehsan. Lahirnya saya di dalam keluarga yang penuh kebahagiaan dan kasih sayang. Selama hampir 5 tahun saya di besarkan di Kalumpang Hulu Selangor oleh kedua orang tua dan datuk serta nenek. Saya adalah anak lelaki tunggal daripada 5 orang adik-beradik dan saya adalah anak yang kedua.
Pada tahun 1992 saya dan keluarga telah berhijrah ke Seri Serdang, Selangor. Kami sekeluarga menyewa sebuah rumah teres satu tingkat. Perpindahan ini adalah kerana ibu saya seorang guru bahasa Inggeris telah ditugaskan mengajar di sekolah di kawasan Alam Megah. Walaupun kehidupan kami tidak mewah, tetapi kebahagiaan itu terpancar daripada raut wajah ibu dan bapa. Bermulanya langkah pertama saya di alam persekolahan pada tahun 1994 sebagai murid darjah satu di Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Serdang. Masih teringat lagi peristiwa di kejar anjing liar ketika berjalan pulang bersama rakan-rakan dari sekolah. Genap 6 tahun alam sekolah rendah, saya hanya mampu mencatat keputusan yang baik.
Tahun 2000 millenium. Percikan bunga api malam tahun baru meraikan langkah kaki ke alam sekolah menengah. Pada awalnya, saya adalah pelajar jurusan teknikal sehingga tingkatan tiga. Selepas Berjaya mencatat keputusan yang cemerlang, saya terpilih sebagai salah seorang pelajar kelas sains tulen. Ketika di sekolah menengah, saya amat aktif dalam sukan, persatuan dan kelab sosial sehingga terpilih menjadi ketua rumah sukan, pengerusi pengakap dan ditugaskan sebagai imam. Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia adalah satu peperiksaan yang amat berat dan sukar bagi diri ini kerana terpaksa menempuh banyak ahli keluarga tercinta yang meninggal dunia. Akhirnya, keputusan yang kurang cemerlang tidak mampu melayakkan saya menyambung pengajian di peringkat matrikulasi.
Saya menyambung pengajian di peringkat diploma dalam jurusan kejuruteraan mekanikal di Institut Teknikal Jepun Malaysia. Tetapi malangnya hasrat menyambung pengajian terbantut kerana saya menarik diri di semester ke tiga. Menjadi seorang wakil kolej bagi acara sukan adalah amat payah untuk saya focus pada pengajian. Pada tahun 2006, saya telah mengikuti kursus pengajian perniagaan di Kolej Poly-tech mara, Bangi selama 3 tahun. Kursus yang ditawarkan adalah usahama dengan pihak UITM. Setelah tamat pengajian, saya terus berkecimpung di dalam dunia perniagaan. Pahit getirnya amatlah berat untuk bahu ini memikul tetapi tetap saya gagahkan juga sehingga hari ini saya berjaya membuka sebuah syarikat yang stabil.
Perjalanan kehidupan yang penuh dugaan ini mengajar saya erti untuk tidak sesekali berlaku tidak adil dan mengambil hak orang lain. Segala kesilapan dan kejayaan perlulah dirujuk kembali pada maha pencipta iaitu Allah s.w.t. Berbekalkan pengalaman kehidupan, didikan orang tua dan teguran daripada sahabat-sahabat yang menjadikan saya hari ini sebagai SHAHRIR BIN SEMSUBHARI. Tidak ada apa yang ingin dikejarkan lagi selain melihat saudara-saudara saya mampu berdiri dan berlari menempuh halangan dan ujian kehidupan ini. Semoga kita dapat bersama-sama berusaha menjadi lebih baik di masa hadapan. Sekian. Wassalam..
Yang Benar,
Shahrir Semsubhari